RSS
"asas ukhwah adalah cinta dan asas cinta adalah keimanan kepada Allah.. itulah yang membuatkan manusia sentiasa tenang dan senang....."

Thursday, December 15, 2011

UMMI... jangan risau ye. Nanti Abang pandailah membaca!

Dengan Nama Allah Maha Pengasih Maha Penyayang
Subhanallah... Alhamdulillah... Allahuakbar..


Setinggi kesyukuran pada Allah yang Maha Berkuasa... Masih lagi memberi kesempatan untuk ummi menghirup udara untuk bernafas disisi insan-insan yang disayangi. Hari ini duduk seorang di rumah. Jadi ummi gunakan kesempatan yang ada untuk mengisi sedikit ruang di blog ummi.


Alhamdulillah semalam abang, adik dan mustafa duduk berseronok dengan ummi di rumah sepanjang abi pergi bekerja. Bermain sepanjang hari. Malam tidur awal kerana masing-masing kepenatan.


Hari ini pagi-pagi lagi abang dah kata nak pergi main di taska pula. Sepanjang cuti ni kerja abang bermain sahaja. Hati ummi pula yang risau bila abang langsung tak tengok buku dan belajar. Tapi teringat pula kata abi... InsyaAllah biarlah dia dengan dunia keseronokan kanak-kanak. Takpelah...yang penting malam-malam mesti mengaji dengan abi.


Keadaan dan suasana dunia hari ini menuntut untuk kita berfikir agak jauh kedepan. Terutama hal yang berkaitan anak-anak.


Abang dah tadika. InsyaAllah malam-malam biasanya ummi akan buka beg sekolah abang. Kalau ada buku bermakna ada kerja sekolah yang perlu disiapkan. Buku-buku cikgu tak bagi bawa balik kecuali yang ada kerja sekolah. Alhamdulillah abang tekun menyiapkan kerja sekolah. Sesuatu yang ummi ingin sangat tahu.. "abang ni dah pandai membaca ke belum..." Bila ummi tanya apa-apa, abang akan bagi jawapan " tak taulah ummi"... geramnye ummi dibuatkan. Alhamdulillah beberapa minggu sebelum cuti abang pun bawa balik kertas-kertas jawapan peperiksaan dan juga buku rekod. Terkejut ummi. Bila pulaklah abang ni periksa. Ummi pula yang rasa bersalah. Rasa macam tak ambil tahu hal anak pula. Tengok buku rekod; abang dapat nombor 6. Alhamdulillah pandai anak ummi... hanya itu yang mampu ummi ucapkan.


Satu malam sebelum tidur, ummi meluahkan apa yang ummi rasa pada abi. Kebimbangan ummi terhadap anak-anak terutamanya abang. Ummi cerita pada abi, kawan-kawan abang ada juga yang dah pandai membaca. Ummi risau abang tak pandai baca lagi. Apa jawapan abi.. abi pula tanya ummi dulu kecik-kecik ummi pandai membaca umur berapa? Entahlah... rasanya dah masuk sekolah darjah 1 baru nak pandai baca. Ummi tak pergi pun sekolah tadika. Emak yang ajar ummi menulis di rumah. Jadi, abi pun memberi nasihat yang amat menyenangkan hati ummi. Sebenarnya persekitaran kita yang banyak mempengaruhi kita berfikir. Tengok orang tu, kita nak jadi macam orang tu. Tengok orang ni kita nak jadi macam orang ni. Kesimpulannya biarlah kita sentiasa menjadi diri kita. InsyaAllah Allah dah tentukan sesuatu yang lebih baik untuk kita.


Abi bercerita pula tentang anak stafnya di ofis yang sudah sangat lancar membaca surat khabar. Umurnya lebih muda dari abang. Memang sangat teruja mendengarnya. Tapi biarlah abang pandai membaca pada tahapnya. Kata Abi bila dia boleh membaca lebih awal... lebih cepat untuk dia meng'explore' segala benda lain. Takut-takut kita yang tidak mampu mengawalnya. Biarlah dia pandai mengaji dulu. Biarlah dia lebih pandai membaca Al-Quran dahulu dan itu lebih penting. InsyaAllah... ada benarnya kata-kata abi tue.

MUTIARA UNTUK IBU BAPA:

Pada peringkat umur dua hingga lima tahun, ibu bapa seharusnya mengambil peranan menerangkan kepada anak-anak tentang kebenaran dan kesalahan tanpa mengira masa dan keadaan. Usah biarkan sahaja kesalahan yang dilakukan semata-mata menganggap anak itu masih kecil. Pada usia begini juga, Islam menyeru ibu bapa menekankan:

1. Pendidikan iman dan akidah kerana anak-anak sentiasa tertanya-tanya tentang Tuhan dan gambaran kewujudannya.
2. Mengasuh mereka mencintai Al_Quran
3. Mengasuh mereka mencintai Nabi dan para Sahabat.
Rujukan: Buku Begini Sayang- Mohd Hisham Mohd Sharif dan Hasifah Zainuddin
Terbitan: Galeri Ilmu.

InsyaAllah sudi-sudilah berkongsi pandangan dan pendapat selok belok untuk membesarkan anak-anak.
Semoga anak-anak yang disayangi membesar menjadi anak-anak yang soleh solehah... anak-anak yang hebat ilmu dunia dan akhirat mereka.

No comments:

Post a Comment